Geng Warung Pak Jabit

Rabu, 23 Januari 2013

Musafir Dunia: siri - I

Menyelami diri ke ruang yang penuh dengan onak dan duri, menyedarkan hati bahawasanya hidup ini bukan mudah sepertimana yang difikirkan. Terkadang, perjalanan hidup yang difikirkan hanya berkisarkan pada soal bahagia sepanjang masa, seperti memiliki harta (rumah, kereta, pelaburan,). Amatlah merugikan jika hanya berfikir berkisarkan hal seperti ini.

Pernah berbicara dengan seorang kenalan yang boleh dikatakan rapat hubungan silaturahim. Beliau menyatakan tentang kesenangan dalam mencari wang ringgit dan pelaburan, hanya berbicara untuk kepuasan jiwa. Bila ditanya berkenaan dengan tuntutan mencari atau menuntut ilmu agama, beliau menjelaskan "masa kini untuk menuntut ilmu bukannya sukar, memadai dengan menggunakan perkhidmatan internet bagi mencari dan mendalami sesuatu ilmu agama". 

Mungkin mudah dan ringkas jawapannya. Diri tidak nafikan, memang kemudahan harus digunakan, namun kesahihan ilmu belum lagi boleh diguna pakai. Adakah diambil secara terus petikan Quran dan hadis menerusi  laman web internet tanpa diperiksa atau diteliti dengan pakar dalam bidang berkenaan ? Adakah ini dijadikan sebagai hujah atau bahan penyelidikan yang bermutu ? 

-SELAMAT BERFIKIR KEPADA SEMUA PENGEMBARA DUNIA-


Gambar diambil disaat awan berarak menutupi bumi

Nukilan yang Berbicara

SUMBER: -gambar simpanan isteriku-

Selalu mengukirkan senyuman,
tanpa disangka cinta yang tidak pernah difikirkan menjadi salah satu cinta yang sukar diperolehi. Bersinar cinta disetiap ruang kehidupan. 
Sinar bintang kejora, itu adalah pasti.
Apabila berfikir, ia merasainya.
Apabila terfikir ia merindui.
Keberkatan dalam cinta. 

Jumaat, 4 Januari 2013

-Salam Manis Buat Isteri-

Ingatan melayang mengenangkan kisah bersamanya. Terkadang membawa dunia khayalanku hingga di awan-awangan. Sungguh hebat aturan Ilahi, menetapkan jodoh dan pertemuan yang mungkin kita tidak sedari, rupanya inilah ketentuanNya.

Pencipta mengurniakan sesuatu pasti terkandung rahmat dan kebaikan yang tersembunyi atau yang jelas diperlihatkan di mata realiti. Bagi aku, pelbagai rezeki dianugerahkan kepadaku setelah selesai melafazkan "Aku Terima Nikahnya". Tercapai kemantangan sebagai lelaki berjiwa suami, mungkin suatu saat nanti selaku ayah, abah atau abi.

Musafir ini berasal dari negeri yang dikenali dengan gelaran "serambi mekah" manakala pasanganku berasal dari negeri "bawah bayu". Sebahagian besar musafir lain diluar sana mengatakan perkara mustahil dipertemukan aku dan dia, disebabkan faktor berbeza adat, bangsa atau etnik, pemikiran dan lain-lain. 

Namun, bagiku itu bukan alasan kukuh untuk dijadikan hujah menolak rasa "cinta". Kataku "Selagi seseorang itu bergelar manusia, selagi tu manusia berkurniakan cinta, namun, bawalah cinta ke arah mengesakan Allah" dan "Kita merancang, Allah tentukan".



 “Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya.”

Khamis, 3 Januari 2013

Fikiran 2013

Ya Allah..

Akhir ini, roh dan jasadku sudah lama tidak bertamu di rumahMu. Adakah aku tidak dipilih atau aku yang buta untuk memilih ? sebahagian besar masa ini diperuntukkan untuk bekerja. Adakah salah pada jawatan yang dimiliki ? jawapannya bukan jawatan yang menjadi penghalang, tetapi salah diri aku sendiri kerana mudah tergoda dengan pujuk rayu syaitan dan nafsu.

Ya Allah, jangan dikau mengelapkan cahayaMu padaku.
Ya Allah, jangan dikau menutup kelembutan kalbuku
Permudahkan urusanku.........

-renungan sang musafir dunia-


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...