Keghairahan 'bomoh' dalam pencarian MH 370 mula beraksi. Teori dan pandangan dimensi mereka mula dicipta, dibentuk dan dihiasi dengan bukti Quran, hadis dan disertakan ilmu hikmah yang dimiliki oleh wali.
Bukan menidakkan alam yang lain, ataupun perbuatan daripada makhluk selain manusia, tetapi upacara dan kaedah itu yang dipertikaikan. Populariti itu boleh dicari dalam pelbagai bentuk.
Dr. Asri menjelaskan, "Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam. Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam".
Apabila dikatakan ulama, sebahagian manusia mentafsirkan seorang yang hanya mahir dalam bidang keilmuan agama Islam. Sedangkan seorang saintis, doktor, peguam, penyelidik, kontraktor, jurutera, guru, dan lain-lain, juga seorang ulama jika asasnya mereka mendalami bidang keilmuan Islam.
Ulama ialah orang yang berilmu. Ada buah fikir. Dan bijak dalam merungkaikan permasalahan semasa dan umat sejagat. Bukan semata-mata yang difikirkan mereka ada ilmu hikmah dengan pembawaan watak terbang dan ghaib, namun hikmah yang terbesar ialah dalam hujah dan akhlak seperti Luqman al-hakim.