Suami isteri saling hormat menghormati jika inginkan rasa cinta yang subur sepanjang masa. Hormat menghormati mengandungi maksud yang luas jika dihayati. Ia merangkumi kepercayaan, kesetiaan, kasih sayang, perkongsian, penerimaan kekurangan dan kelebihan dan sebagainya. Begitu pentingnya akal setiap pasangan supaya berada dilandasan yang positif. Jika timbulnya keraguan tanpa usul periksa, maka tercetuslah titik ketidaksefahaman antara dua hati hingga membawa kemusnahan di alam cinta rumahtangga.
Semasa di alam percintaan, janji sehidup semati dibicarakan, janji setia sekata diungkapkan, janji manis dilafazkan, dan boleh dikatakan janji ditepati bukannya dikhianati. Namun, setelah berada di alam rumah tangga, tiap bibit janji dilupakan, malahan dimusnahkan bersama hilangnya nilai hormat menghormati antara dua hati.
Kembalilah pada sunnah atau cara baginda Rasulullah, pasti diri aku dan kalian berada pada dasar cinta yang benar, bukannya sekadar "Matlamat menghalalkan cara", tetapi "Matlamat yang benar, Cara yang benar". Prinsip beragama harus dihayati, inshaAllah, ditemukan saya dan kalian dengan "CINTA SAMPAI KE SYURGA"
Contoh kaedah Rasulullah menyejukkan kemarahan isterinya:
Nabi saw biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata: "wahai Aisyah, bacalah doa: Wahai tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan (Riwayat Ibnu Sunni)
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa:
Nabi Muhammad saw ialah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit (Bukhari dan Muslim)
Sekian.