Gombak:
Seorang isteri bukan saja sanggup memaki hamun suami dan ibu mentua, tetapi
juga bertindak kejam dengan meminta bantuan ahli keluarganya membelasah
kedua-duanya di rumah mereka di Batu Caves.
Tindakan
terlampau wanita berusia 30-an itu berpunca apabila suami berusia 34 tahun itu
menegur sikapnya yang gemar memburukkan-burukkan ibu lelaki itu menyebabkan
berlaku pertengkaran antara mereka.
Akibat dibelasah keluarga isteri, lelaki itu dan ibunya cedera pada muka,
belakang badan dan tangan sebelum membuat laporan di Balai Polis Selayang. Si
suami turut diugut bapa mentua yang mahu mematahkan kakinya.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi
Jumaat itu, wanita itu bertengkar dengan suaminya apabila dia dimarahi kerana
menghina ibu lelaki terbabit.
“Wanita terbabit yang tidak berpuas hati dimarahi suaminya naik angin lalu
menyerang lelaki terbabit dengan menendang dan menumbuk mukanya.
“Tidak
cukup dengan itu, dia turut menghubungi ahli keluarga untuk mengadu masalah dan
meminta mereka datang ke rumah membantunya,” katanya.
Sebaik tiba di rumah berkenaan, kata sumber itu, ahli keluarga wanita terbabit
yang dalam keadaan marah menyerang lelaki itu, malah abang iparnya yang hilang
kawalan diri memukul mangsa hingga terjatuh.
Menurutnya,
mujur bapa saudara si isteri meleraikan pergaduhan terbabit sebelum meminta
mangsa menjelaskan perkara sebenar.
“Mangsa menceritakan apa yang berlaku dengan isterinya. Malah, dia juga
menghubungi ibunya supaya datang ke rumah bagi membantu menyelesaikan masalah
terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik ibu lelaki itu sampai, dia dimaki hamun dan diserang
menantunya itu.
“Pertengkaran berlaku beberapa minit sebelum kedua-dua beranak itu keluar rumah
untuk membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim
mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
P/S: -Isteri yang terlebih didikan SUAMI-