Geng Warung Pak Jabit

Isnin, 3 Januari 2011

Skali kena Tegur da...


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegur penerbit filem dan drama serta produser supaya tidak membelakangkan panduan syariah ketika mengolah karya yang menceritakan hal khurafat dan tahyul.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak berkenaan perlu merujuk dan mendalami garis panduan syariah yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain berbincang dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi mengelak karya mereka terpesong jauh. 

“Boleh hasilkan filem dan drama khurafat, tapi ia perlu dipandu syariah kerana kita juga kena menerangkan kepada orang ramai hal berkaitan khurafat, bagaimana sepatutnya kita tak terbabit dan sejauh mana kewujudannya.

“Kita juga faham, pihak produser dan syarikat produksi, melihat isu khurafat dan tahyul pada sudut sendiri, tapi sepatutnya hal ini perlu dibincangkan dengan pihak berwajib yang arif. 

“Ini supaya pemikiran masyarakat terutama remaja tidak terpesong dengan filem dipertontonkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pelepasan program Larian Hijrah 1Malaysia 1Ummah peringkat Wilayah Persekutuan, semalam.

Kira-kira 2,000 peserta pelbagai kaum termasuk warga asing menyertai larian sejauh lima kilometer itu yang diadakan di pekarangan Kompleks Pusat Islam Malaysia, di sini. Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Ali yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Jamil Khir berkata, beliau bersetuju tindakan beberapa saluran televisyen dan filem yang meletakkan amaran hal bercanggah dengan syariat di penghujung jalan cerita, sekali gus menyaksikan berlaku proses penerapan ilmu kepada masyarakat.

 “Proses penerapan secara perlahan ini saya fikir boleh dipertingkatkan pendekatannya. Sebagai contoh saya tengok filem di beberapa negara seperti Iran dan Turki mereka ada panel syariah supaya filem tak terkeluar daripada garis panduan,” katanya. 

Beliau turut menegur artis wanita Malaysia supaya menjaga tata tertib berpakaian ketika menghadiri majlis anugerah dan tidak hanya mengejar publisiti murahan semata-mata.
Katanya, pihak penganjur majlis anugerah juga perlu memperingatkan artis tanah air mengenai kod berpakaian selain merujuk panduan yang dikeluarkan Jakim.

Beliau mengulas pemakaian artis wanita yang dikatakan tidak sopan ketika menghadiri majlis anugerah seni termasuk Majlis Anugerah Skrin TV3 2010 yang berlangsung 24 Dis lepas sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.

Sumber: Metro/ Isnin/ 3.1.2011

Tiada ulasan :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...